Saturday, February 18, 2012

Tip P&P : "K-W-L : Teknik efektif untuk faham ajaran guru dan bacaan buku"

Salah satu kemahiran yang penting di dalam pembelajaran ialah kemahiran membaca. Membaca sahaja tidak mencukupi bagi seseorang pelajar. Mereka sepatutnya boleh membaca dengan baik dan yang penting sekali, dapat memahami isi kandungan bahan bacaan mereka.

Ada pelbagai teknik dan pendekatan untuk membantu pelajar menggarap pemahaman yang tinggi semasa mereka membaca. Salah satu daripada teknik ini ialah teknik K-W-L.

Teknik K-W-L (Know-Want-Learned), diperkenalkan oleh Donna Ogle pada tahun 1986. Ia bertujuan untuk membantu pelajar memahami isi kandungan teks bacaan. Secara ringkasnya K-W-L bermaksud:

Abjad "K" mewakili "KNOW" atau "Apa yang pelajar sudah sedia tahu"

Abjad "W" mewakili "WHAT I WANT TO KNOW" atau "Apa yang pelajar ingin tahu"

Abjad "L" mewakili "LEARNED" atau "Apa yang pelajar sudah pelajari"

Bagaimanakah kita boleh gunakan teknik K-W-L ini di kelas? Berikut adalah cadangan perlaksanaan:

Langkah 1: KNOW

1. Guru memulakan sesi pengajaran dengan sesi sumbang saran atau brainstorming tentang apa jua maklumat yang pelajar tahu mengenai topik perbincangan.

2. Contohnya, guru akan mengajar tentang subjek Sains di bawah "Menyiasat Alam Kehidupan". Topik pada hari itu pula ialah "Kelawar". Pelajar akan menulis seberapa banyak idea yang mungkin di atas lembaran kerja K-W-L. Bantulah pelajar menjana idea juga dengan memberi hint atau bayangan sepatutnya.

3. Pelajar juga boleh membuat kategori kecil untuk memudahkan mereka mengekstrak pengetahuan sedia ada tentang kelawar. Di bawah kategori kecil itu, pelajar akan senaraikan isi dan fakta mengenai kelawar.

4. Anggaplah langkah ini sebagai inventori pra-pembacaan. Maklumat awal ini akan bertindak sebagai perancah (scaffold) untuk menyokong maklumat baru yang akan pelajar diterima.

Contoh pengisian pada ruang KNOW:

Kelawar makan pisang dan buah

Kelawar ialah sejenis haiwan mamalia

Kelawar terbang pada waktu malam

Langkah 2 : WANT

1. Pelajar kemudiannya menyenaraikan apa sahaja yang mereka ingin tahu tentang kelawar. Jika pelajar menghadapi masalah, guru akan berikan sedikit hint atau bayangan.

2. Pelajar boleh menggunakan konsep soalan aras rendah. Soalan-soalan sebegini mengandungi "apa", "siapa", "bila" dan "di mana". Contohnya, "Di mana kelawar tinggal?", "Apakah makanan kelawar?" dan "Bila kelawar memburu?"

3. Minta pelajar untuk fikirkan juga soalan aras tinggi dan lebih kompleks. Contohnya, "Jika ia mempunyai mata yang kecil dan penglihatan yang kurang baik, bagaimanakah ia memburu dengan baik?"

Contoh pengisian pada ruang WANT

Apakah makanan kelawar?

Bilakah kelawar memburu?

Adakah kelawar hisap darah?

Bagaimanakah ia tidur?

Jika matanya kecil, bagaimana ia memburu dengan baik?

Langkah 3 : LEARNED

1. Seterusnya, pelajar menggunakan lembaran kerja untuk mengisi fakta yang sudah diperolehi selepas membaca teks atau selepas guru mengajar tentang topik itu.

Contoh pengisian pada ruang LEARNED

Ada 118 spesies kelawar di Malaysia

Malaysia ada 10% populasi kelawar dunia.

Kelawar ialah pemangsa haiwan perosak yang cekap.

Kelawar memburu dengan menggunakan kaedah pengesanan gema.

2. Pelajar juga akan kembali ke KNOW. Mereka diminta untuk melihat kembali fakta yang tidak betul dan memerlukan pembetulan. Contohnya, pada awal bacaan, pelajar meletakkan fakta , "Kelawar bertelur (kerana burung yang terbang juga bertelur)". Fakta itu dibetulkan kepada, "Kelawar ialah mamalia dan ia melahirkan anak."

Nota untuk guru:

1. Untuk membolehkan pelajar menambahkan fakta yang sedia ada, guru boleh meminta pelajar untuk membentuk kumpulan-kumpulan kecil. Setiap kumpulan diberi pula masa beberapa minit untuk melakukan sumbang saran dan berbincang untuk percambahan dan penjanaan idea. Guru pula memainkan peranan sebagai pemudah cara untuk menggalakkan pelajar untuk berfikir dengan lebih kritis dan kreatif!

2. Jika guru merasakan bahawa pelajar tidak mempunyai pengetahuan latar belakang dan menghadapi masalah mengisi ruang KNOW, janganlah anda gusar. Apabila kita minta pelajar untuk mengisikan ruang KNOW, kita menggalakkan pelajar memikirkan tentang sesuatu yang mereka sudah tahu. Kita juga telah melakukan inventori dan akan dapat sekilas pandangan tentang apa yang pelajar tahu dan apa yang mereka tidak tahu mengenai topik berkenaan. Aktiviti ini juga bertindak sebagai satu "cangkuk" untuk maklumat baru diperkenalkan.

3. Kadang-kadang, ada juga pelajar yang tidak tahu apa-apa atau apa yang mereka tahu adalah salah. Secara amnya, semua pelajar mempunyai sedikit maklumat latar belakang atau sedikit pengetahuan tentang sesuatu subjek itu. Sebagai guru, kita perlu tahu kandungan subjek dengan secukupnya sebelum memulakan P&P. Jadi secara semula jadinya, kita sudah bersedia tentang apa yang kita minta pelajar isikan dalam ruang KNOW.

4. Kadang-kadang juga, guru menghadapi masalah di mana pelajar mengisi pelbagai soalan pada ruang WANT. Ada pula pelajar yang akan mencadangkan semua jenis soalan untuk apa sahaja yang mereka ingin tahu. Pada tahap sekolah rendah, kita galakkan sahaja perasaan ingin tahu mereka. Ini adalah lebih baik daripada pelajar yang mungkin akan menulis, "Tiada apa-apa yang saya ingin ketahui!"

5. Saya cadangkan guru untuk menggunakan WANT untuk menulis apa yang mereka fikir mereka akan belajar (WANT = WILL LEARN). Ini akan menggalakkan pelajar mengamalkan kemahiran meramal. Kemahiran ini memang asas kepada pembacaan teks yang lebih efektif.

 

Bacaan tambahan:

Teknik K-W-L:

http://www.ncrel.org/sdrs/areas/issues/students/learning/lr2kwl.htm

http://www.studygs.net/texred3.htm

Teknik menyoal dan Bloom's Taxonomy:

http://www.teachervision.fen.com/teaching-methods/new-teacher/48445.html

http://www.teachervision.fen.com/teaching-methods/curriculum-planning/2171.html?detoured=1

Fakta tentang kelawar:

http://norazharishak.blogspot.com/2012/02/fakta-sains-kelawar-memburu-600-ekor.html

Photo credit:

http://notebookingfairy.com/wp-content/uploads/2011/03/KWL-graphic-organizer.gif

http://readkutubkids.files.wordpress.com/2010/06/kids-reading.jpg

http://us.123rf.com/400wm/400/400/genlady/genlady0808/genlady080800003/3388735-active-pupils-at-classroom.jpg

http://www.educationnews.org/wp-content/uploads/2011/11/Curious-story.jpg

http://i.istockimg.com/file_thumbview_approve/5123866/2/stock-photo-5123866-curious-children.jpg

http://www.csus.edu/indiv/g/gipej/kwl.gif

 

No comments:

Post a Comment