Saturday, February 4, 2012

Fakta Sains : "Berapa banyakkah spesies haiwan yang masih belum ditemui?"

Katak menakjubkan yang berwarna ungu ini di antara spesies baru yang ditemui di hutan terpencil Suriname pada tahun 2006

Pada masa ini terdapat kira-kira setengah juta spesies haiwan yang kita telah kenal pasti. Saintis pula memberikan anggaran yang berbeza terhadap jumlah spesies yang masih belum ditemui di planet kita. Mereka mengganggarkan angka ini sejumlah setengah juta hingga 50 juta. Tetapi yang sebenarnya, tiada siapa pun tahu dengan tepat jumlah spesies yang masih belum ditemui. 

 

Golden-mantled tree kangaroo dijumpai pada tahun 2005 di pergunungan Foja, Indonesia

Banci 10 tahun hidupan laut sedang berjalan dan ia telah dimulakan sejak tahun 2003. Di dalam projek besar-besaran ini, seramai tiga ratus orang ahli biologi marin telah merekodkan semua spesies ikan yang mereka ketahui. Pada tahun 2013, adalah dianggarkan bahawa 5,000 spesies baru ikan akan ditemui. Ini akan meningkatkan jumlah spesies yang telah tersenarai kepada 20,000 ekor spesies baru ikan.

Satu contoh spesies ikan yang baru ditemui ialah sejenis ikan leper yang agak pelik. Halieutichthys intermedius merupakan satu spesies baru yang tergolong dalam kumpulan Pancake Batfish. Kumpulan ini ini dinamakan sedemikian kerana ia leper dan menggunakan siripnya yang gempal dan berupa seperti lengan untuk bergerak sepanjang dasar laut. Pergerakannya seolah-olah seperti badut yang berjalan menggunakan jangkungan (stilt). Ia hanya hidup di Teluk Mexico dan persekitaran pantai Louisiana.

Tugas merekodkan spesies ikan sudah pun dikira mencabar. Tetapi ini tidak boleh dibandingkan dengan tugas merekodkan semua spesies serangga di Bumi. Lebih separuh daripada semua spesies yang direkodkan di dunia ini adalah serangga dan jumlah ini termasuklah kira-kira 300,000 jenis kumbang! Ada saintis yang menganggarkan bahawa spesies serangga berjumlah lebih daripada 30 juta ekor. Bandingkan jumlah itu dengan hanya satu juta spesies serangga yang direkodkan sehingga hari ini.

Satu contoh spesies serangga yang baru ialah sejenis cengkerik yang dijumpai pada tahun 2010. Spesies cengkerik yang bernama Glomeremus orchidophilus itu bukan sahaja boleh membuat bunyi yang agak bising tetapi ia juga satu-satunya pendebunga orkid yang jarang ditemui iaitu Angraecum cadetii yang tumbuh di kepulauan Reunion di Lautan Hindi.

Berdasarkan penyelidikan terkini, boleh dikatakan bahawa satu spesies baru ikan ditemui kira-kira tiga kali dalam seminggu. Tetapi bagaimana pula dengan spesies kumbang? Di hutan seperti Amazon yang ekosistemnya kaya dengan flora dan fauna, kebarangkalian untuk kita menjumpai spesies baru kumbang pasti agak tinggi!

Apa pula kisahnya dengan mamalia? Hanya 4,500 spesies mamalia yang diketahui wujud. Jumlah ini tidaklah sebanyak spesies ikan dan serangga. Sebab itulah saintis akan sangat teruja jika ada spesies baru mamalia ditemui.

Penemuan spesies mamalia yang baru adalah jarang berlaku dan penemuan spesies karnivor yang baru pula adalah sesuatu yang agak luar biasa. 

Pada tahun 2010, saintis telah menemui satu spesies baru mamalia karnivor di timur Madagascar. Haiwan seperti cerpelai ini digelar Durrell's vontsira dan ia ditemui di tanah lembap (wetland) Tasik Alaotra, tasik terbesar di Madagascar. Durrell's vontsira adalah sangatlah jarang ditemui dan para penyelidik hanya menemui dua haiwan sahaja setakat ini. Spesies karnivor itu diketahui makan ikan dan mamalia kecil di persekitaran tasik itu.

Perlindungan hidupan liar kini telah menjadi isu yang menarik minat seluruh dunia. Beberapa jenis haiwan yang kecil bilangannya di dunia ini sedang menghadapi kepupusan jika tidak diberi perlindungan khas. Sekiranya haiwan ini pupus, generasi akan datang hanya akan mengetahuinya dalam khayalan sahaja. 

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa langkah yang boleh diambil bagi menyelamatkan haiwan liar yang semakin pupus ini. Sehubungan dengan itu, kanak-kanak perlu mendapat pendedahan tentang kepentingan menjaga haiwan sama ada haiwan peliharaan atau haiwan liar supaya hidupan ini terpelihara.

Photo credit:

http://weblog.sinteur.com/wp-content/uploads/2007/06/captb557127630ad431692fe1b1c617bb680suriname_new_species_sju101.jpg

http://news.nationalgeographic.com/news/2006/02/images/060207_lost_world.jpg

http://news.nationalgeographic.com/news/2007/02/images/070206-new-species_big.jpg

http://www.cosmosmagazine.com/files/imagecache/news/files/news/20110524_H.%2520intermedius.jpg

http://1.bp.blogspot.com/_YXWamP8aB5s/TTZzxe_hIlI/AAAAAAAABfY/8eRZOmw3vwM/s1600/insects%2525287%252529.jpg

http://img.ezinemark.com/imagemanager2/files/30004254/2011/06/2011-06-01-10-01-20-8-glomeremus-orchidophilus-found-on-island-in-the-so.jpeg

http://ic2.pbase.com/g3/48/839548/2/94900839.T1m0eNcg.jpg

http://www.newscientist.com/blogs/shortsharpscience/Durrell.jpg

Maklumat lebih lanjut:

http://www.redorbit.com/news/science/1932027/new_species_of_carnivorous_mammal_found_in_madagascar/

http://news.nationalgeographic.com/news/2011/05/pictures/110524-top-ten-new-species-2010-t-rex-leech-lizard-mushrooms-science-spider-fish-titanic/#/top-10-species-2010-pollinating-cricket_35911_600x450.jpg

http://www.dailymail.co.uk/sciencetech/article-459834/The-incredible-purple-frog-thats-24-new-species-discovered-South-America.html

http://news.nationalgeographic.com/news/2006/02/0207_020607_lost_world.html

No comments:

Post a Comment