Kurikulum baru sekolah rendah yang dikenali sebagai Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) telah diperkenalkan pada 2011 dengan subjek yang lebih sedikit tetapi menggunakan pendekatan yang lebih interaktif.
KSSR mula diperkenalkan dan diterapkan kepada prlajsr tahun satu kerana kesesuaian pelajar tersebut yang baru menduduki alam persekolahan atau peringkat awal pendidikan mereka.
Penerapan dari peringkat awal akan membantu memudahkan perjalanan serta pembelajaran pelajar-pelajar tersebut yang akan melangkah ke tahun-tahun seterusnya sejajar dengan perubahan umur. KSSR juga tidak akan menggantikan tetapi beriringan dengan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR).
KSSR membahagikan mata pelajaran kepada tiga modul iaitu Modul Asas Teras, Modul Asas Tema dan Modul Asas Elektif.
Tahap satu sekolah rendah (tahun 1 hingga 3) akan tertumpu kepada penguasaan 4M (membaca, menulis, mengira dan menaakul) serta kemahiran asas teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), perkembangan sosioemosi, kerohanian, fizikal, kognitif, sikap dan nilai.
Mari kita lihat tentang salah satu penguasaan yang ditumpukan iaitu "menaakul". Ramai guru yang bertanya kepada saya, apakah itu "menaakul" dan bagaimana kita menerapkan penguasaan ini terhadap pelajar kita.
Antara respons apabila ditanya tentang konsep menaakul termasuklah:
"Apa yang saya faham ialah pelajar boleh ceritakan semula kenapa sesuatu itu berlaku"
"Kemahiran menaakul membolehkan pelajar membuat keputusan berdasarkan akal dan logik; membolehkan mereka membezakan antara yang positif dan negatif. Kalau aktiviti, pelajar menceritakan semula apa yang telah berlaku."
Mari kita lihat bagaimana konsep penaakulan ini digunakan dalam subjek matematik. Menaakul atau reasoning ialah membuat pertimbangan dan penilaian dengan menggunakan akal atau logik. Penaakulan merupakan asas dalam membuat dan memahami matematik. Perkembangan penaakulan matematik berkait rapat dengan perkembangan intelek dan komunikasi murid.
Penekanan penaakulan dalam semua aktiviti matematik memberi laluan dan pengalaman kepada murid untuk menerima matematik dalam memahami kejadian alam persekitaran dengan lebih bermakna.
Apabila mereka menaakul, mereka digalakkan membuat tekaan atau telahan dalam menentukan sesuatu penemuan atau penyelesaian. Mereka juga dilatih untuk menyiasat tekaan atau telahan mereka sama ada dengan menggunakan bahan konkrit, kalkulator, komputer, perwakilan matematik dan sebagainya.
Penaakulan matematik ini perlu diterapkan dalam pendidikan matematik supaya pelajar dapat mengenal, membina dan menilai telahan dan hujah matematik.
Bagaimanakah caranya untuk membantu pelajar mahir dalam penguasaan menaakul?
Sebagai alternatif kepada penggunaan perkataan "menaakul" yang mungkin agak kekok kepada para pelajar, guru boleh gunakan ayat seperti berikut:
"Kenapa kamu pilih cara ini?"
"Bolehkah kamu beri sebab kenapa kamu kata..."
"Mengapakah penyelesaian sebegini menjadi pilihan kamu?"
Mari kita lihat ilustrasi menaakul dalam operasi tambah di bawah. Komunikasi guru dan pelajar ini berlaku dalam P&P Matematik.
Ada pelbagai cara untuk menyelesaikan operasi tambah di atas. Apabila ada pelajar yang mencadangkan 9 itu dijadikan 10, kita minta pelajar itu berkongsi cara penyelesaiannya.
Pelajar itu menerangkan, "Apa sahaja nombor yang ditambah dengan 10, adalah lebih mudah!"
Guru seterusnya bertanya, "Dari manakah kamu mendapat angka tambahan untuk 10?"
Pelajar itu menjawab, "Saya ambil 1 dari angka 5"
Pelajar itu menerangkan lagi,"Sekarang 5 tinggal 4. Jadi, 4 tambah dengan 10 ialah 14!"
Di atas adalah satu contoh menaakul dalam kemahiran tambah. Di sini, pelajar mengaplikasikan kemahiran berfikir dalam pelbagai arah dengan menekankan konsep tambah tanpa terkeluar dari skop yang sebenar.
Photo credit:
http://www.learningrxblog.com/wp-content/uploads/2010/06/logic-and-reasoning-skill-test-300x299.jpg
http://www.blogcikgu.com/wp-content/uploads/2011/07/kssr2011.jpg
http://comps.canstockphoto.com/can-stock-photo_csp8631278.jpg
http://www.allentownsd.org/cms/lib01/PA01001524/Centricity/Domain/1090/math_reasoning.gif
http://www.norazharishak.blogspot.com
http://www.preschools4all.com/image-files/math-games-for-kids.jpg
Assalammualaikum cikgu. sy pun seorang guru dan ingin bertanya pada cikgu, sumber mana kemahiran menaakul ini ckg dapat? sangat informatif. saya sedang merancang Rancangan Harian menggunakan pendekatan kemahiran menaakul, jadi sy memerlukan sumber2 yang lebih terperinci utk dijadikan bahan rujukan. harap dapat kerjasama ckg. terima kasih
ReplyDeleteckg seremban
Waalaikumsalam Ckg Seremban, sumber untuk penulisan artikel di atas datang dari laman sesawang BPK (tentang kssr) dan juga hasil perbincangan dengan rakan-rakan guru yang lain. Saya mohon maaf kerana tidak dapat beri rujukan yang lebih membantu (dari segi sumber research paper etc kerana ia agak sukar didapati. Mungkin cikgu boleh cuba bertanya pihak UPSI, mungkin mereka boleh membantu dengan lebih baik lagi.
Delete