Sunday, October 23, 2011

Aktiviti Sains : "Pertandingan Rekacipta Struktur"

Pengenalan

Di dalam aktiviti ini, pelajar akan membina model struktur binaan dan dalam masa yang sama, belajar tentang apa yang diperlukan untuk membina sesuatu struktur yang kukuh dan stabil. Aktiviti kinestatik ini bukan sahaja menyeronokkan tetapi ia juga mencungkil idea dan kreativiti pelajar dan menggalakkan pemikiran yang kritis.

Apa yang diperlukan?

1. Straw minuman

2. Kertas surat khabar

3. Kertas pelbagai ketebalan seperti kad manila, kadbod kotak dan kertas biasa

4. Pita Masking atau pita selofan

5. Gunting

Apa yang perlu dilakukan?

1. Pelajar diberi masa untuk melakarkan struktur yang hendak dibina. Mintak pelajar untuk mempertimbangkan faktor yang menyumbang kepada kekuatan dan kestabilan sesuatu struktur.

2. Pelajar diberi masa untuk membina struktur itu dengan menggunakan bahan-bahan yang telah disediakan.

3. Selepas masa mencukupi, guru akan membuat ujian ketahanan untuk menguji kestabilan struktur yang dibina. Guru boleh meletakkan pemberat yang standard di atas setiap struktur dan uji ketahanan setiap struktur. Secara alternatifnya, guru boleh membuat gumpalan bola kertas surat khabar untuk dilontarkan ke arah stuktur (seperti permainan bowling).

4. Pelajar yang strukturnya paling kukuh dikira sebagai pemenang.

5. Guru memudah cara perbincangan tentang setiap struktur dan seterusnya mengaitkannya kepada kekuatan dan kestabilan sesuatu struktur binaan.

Pengisian Sains

Sesuatu bangunan mesti dibina dengan struktur yang kuat dan stabil supaya tidak runtuh. Ada pelbagai faktor yang boleh menyebabkan sesuatu struktur itu runtuh, antara lain termasuklah gempa bumi.

Kestabilan sesuatu struktur adalah keupayaan untuk mengekalkan kedudukan asalnya apabila ditolak atau ditarik. Sesuatu struktur dikatakan stabil jika ia tidak boleh tumbang dengan mudah.

Kestabilan sesuatu struktur itu dipengaruhi oleh luas tapak dan juga ketinggian struktur itu. Semakin besar luas tapak, semakin stabil struktur itu. Ketinggian struktur pula berkait dengan pusat graviti bagi struktur tersebut. Semakin tinggi struktur itu, tinggilah juga pusat gravitinya dan semakin kuranglah kestabilan struktur itu.

Kekuatan sesuatu struktur pula ialah keupayaan struktur itu untuk menahan daya yang bertindak ke atasnya. Jika ia boleh menahan beban yang berat dan tidak mudah patah atau runtuh, ia dikatakan sebagai satu struktur yang kuat.

Kekuatan sesuatu struktur bergantung kepada jenis bahan yang digunakan dan cara struktur itu dibina.

Tahukah anda?

Kereta lumba direka bentuk dengan pusat graviti yang rendah untuk meninggikan kestabilannya. Ia juga direka untuk mempunyai luas tapak yang besar supaya ia lebih stabil semasa memecut di dalam litar.

Cubalah!

Struktur bagi bangunan, jambatan dan terowong merupakan gabungan daripada bentuk-bentuk asas. Sebagai satu aktiviti kajian lapangan, minta pelajar ambil gambar atau lakarkan struktur yang mereka lihat dan cuba kenal pasti bentuk asas yang terdapat pada struktur binaan itu. Sebagai contoh, Menara Kembar Petronas merupakan gabungan bentuk-bentuk asas seperti kon (bahagian atas), silinder (struktur utama) dan kuboid (jambatan udara).

Kurikulum sekolah

Year 5 / Theme : Investigating Technology / Strength and Stability (Kekuatan dan Kestabilan)

Selamat mencuba!

No comments:

Post a Comment