Tuesday, February 21, 2012

Tip P&P : 6 cara menggalakkan pelajar mempelajari daripada kesilapan dan mendapat kejayaan!"

Membuat kesilapan sering dikaitkan dengan sesuatu yang negatif. Ini tidak semestinya benar. Apabila kesilapan berlaku, perkara yang penting ialah belajar dan mengambil pengajaran darinya.

Cuba kita fikirkan bagaimana seseorang berjalan semasa ia kecil. Apabila seorang bayi dilahirkan, selepas beberapa bulan, ia maju dari keadaan menelentang kepada menelungkup. Sedikit demi sedikit bayi itu berusaha untuk merangkak, kemudian cuba untuk berdiri dan akhirnya berjalan. Langkah awalnya masih tidak sempurna tetapi dia tetap mencuba sehingga berjaya.

Proses pembelajaran yang sama juga boleh dilihat semasa seseorang membaca, menulis, belajar memasak, menunggang basikal dan sebagainya. Tiada siapa pun yang dilahirkan sempurna dan terus handal membuat sesuatu perkara. Jika kita lihat dengan perspektif yang lebih luas, kita akan dapat lihat bahawa kesilapan yang dialami boleh diambil pengajaran untuk membawa kejayaan kepada seseorang individu.

Anda mungkin tidak berapa kenal dengan seseorang yang bernama Walter Elias Disney. Walter pernah dipecat dari sebuah syarikat penerbitan akhbar. Ini adalah kerana dia dikatakan tidak dapat menyumbangkan idea-idea kreatif kepada syarikatnya. Walter yang juga dikenali sebagai Walt Disney sekarang diingati sebagai seorang pengarah dan penerbit filem, penghibur, usahawan dan juga seorang ikon antarabangsa. Beliaulah yang bertanggungjawab kepada wujudnya Taman Tema Disneyland.

Albert Einstein pula tidak boleh bertutur sehingga dia berumur empat tahun. Dia juga tidak belajar membaca sehingga umurnya tujuh tahun. Einstein sekarang dikenali sebagai salah seorang bapa Fizik moden dan juga saintis yang paling dikagumi dalam sejarah manusia.

Beethoven, seorang penggubah muzik terkenal dunia pula pernah dimarahi oleh guru muziknya. Guru muziknya berpendapat bahawa dia tiada harapan langsung sebagai seorang penggubah muzik!

Apa yang penting di dalam membuat kesilapan ialah mencari sebab kesilapan itu berlaku dan belajar daripadanya. Ini ialah salah satu kunci utama sesuatu kejayaan.

Perasaan takut dan bimbang banyak menghalang seseorang individu daripada berjaya. Rasa takut ini menghentikan mereka dari mencuba tugasan atau aktiviti baru kerana takut tidak dapat membuatnya dengan betul. Kadangkala, kata-kata negatif akan bermain difikiran mereka seperti, "Mengapa saya harus belajar bersungguh-sungguh jika saya pasti akan gagal?"

Kata-kata negatif seperti ini tidak membantu kita langsung dan tidak membawa kita ke mana-mana pun. Ia bukan sahaja melemahkan semangat, tetapi juga akan membawa kita terus kepada kegagalan. Ini dijamin 100%!

Rasa bimbang dan takut juga dipengaruhi oleh apa yang kita fikirkan tentang masa hadapan. Apabila kita berfikir ke hadapan dan melihat hasil yang negatif, kita membawa imej negatif ini ke masa kini. Seterusnya ini menyebabkan kita takut berdepan dengan apa yang mungkin akan berlaku. Tanggapan negatif ini dicipta di dalam fikiran kita dengan jelas seolah-olah ia sesuatu yang benar-benar akan berlaku.

Penceramah dan penulis buku popular, Andrew Matthews mencadangkan cara mengatasi kebimbangan di dalam bukunya, "Follow your heart". Andrew menulis, "Jangan terlampau bimbang tentang sesuatu perkara. Jalanilah hari anda pada satu-satu masa sahaja. Apa yang boleh anda lakukan adalah untuk memberikan usaha terbaik anda sehingga anda masuk tidur."

Penceramah motivasi terkenal, Anthony Robbins pula cukup popular dengan kata-kata semangatnya, "Masa lalu tidak sama dengan masa hadapan." Katakan pada diri anda bahawa kegagalan pada tahun lepas, semalam, atau seminit yang lalu tidak bermakna yang anda akan gagal hari ini esok atau pada percubaan anda yang seterusnya. Kita semua boleh mencapai apa yang kita mahu untuk diri kita jika kita percaya kita boleh lakukannya!

Cubalah untuk bersikap positif dan amalkan teknik-teknik untuk menghentikan kata-kata negatif ini. Di dalam buku, "The One Minute Millionaire", Mark Victor Hansen berkongsi teknik "SNAP" untuk menghentikan kata-kata negatif. Anda hanya perlu memakai satu gelung getah di pergelangan tangan anda.

Setiap kali anda diserang dengan kata-kata negatif yang datang dari minda anda, tarik gelung getah itu dan lepaskannya. Kesakitan kecil ini akan mengingatkan anda tentang kata-kata negatif yang tidak menguntungkan ini. Mark juga mencadangkan supaya gelung getah ini dipakai setiap masa selama sebulan! Cubalah, dan lihat perbezaannya.

Berikut adalah 6 tips untuk menggalakkan anak-anak dan para pelajar anda mempelajari daripada kesilapan:

1. Galakkan anak-anak atau pelajar anda untuk belajar daripada kesilapan mereka. Janganlah kita terlalu pentingkan kejayaan markah hasil ujian atau peperiksaan sahaja. Apabila kertas ujian atau peperiksaan dikembalikan, raikan jawapan yang betul dan kembalilah mencari penyelesaian yang betul untuk soalan-soalan yang salah dijawab.

2. Berkongsilah pengalaman atau cerita-cerita tentang diri anda, ahli keluarga, rakan-rakan atau individu yang pernah membuat kesilapan dan seterusnya mengatasi pelbagai halangan untuk terus berjaya.

3. Mewujudkan persekitaran positif di rumah dan di bilik darjah anda. Tekankan bahawa, di sini ada ruang untuk melakukan kesilapan dan sebarang perkara baru untuk dipelajari adalah amat digalakkan.

4. Amalkan kata positif dan banyakkan pujian kepada anak-anak dan para pelajar. Cuba lebihkan perkara ini daripada menghukum atau memarahi mereka.

5. Berilah peringatan secara lembut tentang sesuatu proses pembelajaran iaitu kejayaan hanya datang dengan peningkatan yang kecil dan bukannya segera. Ingatkan kejayaan-kejayaan yang mereka telah kecapi hasil usaha gigih mereka yang memakan masa dan kesabaran.

6. Percayailah kebolehan anak-anak dan para pelajar anda tidak kira berapa kali mereka gagal atau membuat kesilapan.

Nota tambahan:

Tentang "Follow your heart" and combining with TAWAKAL. . .

إِن يَنصُرْكُمُ اللَّهُ فَلَا غَالِبَ لَكُمْ ۖ وَإِن يَخْذُلْكُمْ فَمَن ذَا الَّذِي يَنصُرُكُم مِّن بَعْدِهِ ۗ وَعَلَى اللَّهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُونَ

If Allah should aid you, no one can overcome you; but if He should forsake you, who is there that can aid you after Him? And upon Allah let the believers rely.

Jika Allah menolong kamu, maka tidak ada yang dapat mengalahkanmu, tetapi jika Allah membiarkan kamu (tidak memberi pertolongan), maka siapa yang dapat menolongmu setelah itu? Kerana itu, hendaklah kepada Allah sahaja orang-orang mukmin bertawakal.
-Surah al-Imran, ayat 160-

Photo credit:

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgQ0rnJ7IjykUAPnSIFlI8LorCmM_2dvwxCKOD8Qb7HHtLaf3qHWqIwlgsa-eRVZtXDIzjJxShaA3qDe_Is8kxAk_KYrNyhZ37cfMwc9VW584uHXMu679tl5xDggwLcjr8al5z73W5j-Us/s400/franchise-mistakes.jpg

http://0.tqn.com/d/pediatrics/1/0/b/M/first_steps.jpg

http://wandermelon.com/wordpress/wp-content/uploads/2010/09/the-gang-in-frot-of-castle.jpg

http://www.deism.com/images/einfun.jpg

http://rlv.zcache.com/white_quote_making_mistakes_mug-p168850128507595664z85fd_400.jpg

http://cdn.mdjunction.com/components/com_joomlaboard/uploaded/images/FearFailure1.jpg

http://www.popular.com.sg/images/product/book/18615.jpg

http://cdn3.iofferphoto.com/img/item/201/560/414/anthony-robbins-awaken-the-giant-within-d95fc.jpg

http://www.internetinc.com/wp-content/uploads/doh.gif

http://24.media.tumblr.com/tumblr_lq4jnwURr01qcw4fzo1_500.jpg

http://www.iamashcash.com/wp-content/uploads/2011/05/mistakes25.jpg

http://stream.goodwin.drexel.edu/womenincoaching/wp-content/uploads/2011/12/mistakes.jpg

http://www.stirringtroubleinternationally.com/wp-content/uploads/2009/11/parentandchild.thumbnail.png

http://cindysense.com/wp-content/uploads/stepstosuccess1.jpg

http://positiveparentsandkids.files.wordpress.com/2012/01/11.jpg%3Fw%3D300%26h%3D300?w=271

 

2 comments:

  1. Ermm...terima kasih atas perkongsian ini....
    "Sekali sekala tolehlah ke belakang sebagai pedoman kepada kita; pelajarilah dari kegagalan dan pengalaman hidup masa lal." - Johan Daniel

    ReplyDelete
  2. Terima kasih kembali atas kesudian Cikpuan Emarahman membaca posting saya dan menyumbangkan satu lagi quotation yang bermanfaat!

    ReplyDelete