Saturday, May 26, 2012

Aktiviti Sains : "Mari bermain Kejar-Padan-Menang dan pelajari tentang haiwan dan struktur pernafasannya!”

Pengenalan

Ini adalah satu aktiviti pemula yang baik terutamanya untuk memperkenalkan sesuatu topik yang berasaskan pelbagai pasangan padanan jawapan yang betul. Contoh yang baik adalah topik seperti struktur pernafasan haiwan. Di dalam permainan ini, pelajar diberi tugas di dalam bentuk cabaran yang menyeronokkan. Penyelesaian cabaran ini memerlukan perbincangan dan kerjasama sesama ahli kumpulan.

Apa yang diperlukan?

Penglibatan pelajar dengan aktif

Kad imbas soalan yang dimasukkan dalam KOTAK ORGAN PERNAFASAN

Kad imbas jawapan yang dimasukkan dalam KOTAK HAIWAN

Apa yang perlu dibuat?

1. Bahagikan pelajar kepada kumpulan-kumpulan kecil.

2. Setiap kumpulan akan dikehendaki memilih satu kad imbas soalan dari KOTAK ORGAN PERNAFASAN yang terletak di tengah-tengah kelas.

3. Selepas mengenal pasti gambar pada kad imbas soalan yang dicabut daripada KOTAK ORGAN PERNAFASAN (contoh : “insang”), kumpulan itu hendaklah mencari padanannya di dalam KOTAK HAIWAN. KOTAK HAIWAN mengandungi pelbagai kad imbas jawapan.Di dalam contoh ini, padanan yang betul adalah kad imbas jawapan “ikan”.

4. Selepas mencari padanan, ahli kumpulan itu akan berlari semula ke kumpulannya dan menyerahkan tugas seterusnya kepada ahli kumpulannya yang lain pula.

5. Setiap kumpulan diberikan masa 2 minit sahaja untuk bergilir-gilir mencari padanan.

6. Lagi cepat kumpulan itu bergerak dan mencari padanan, lagi cerah peluang kumpulan itu untuk mendapat banyak padanan yang betul dan seterusnya berpeluang memenangi cabaran ini.

7. Apabila tamat masa, guru akan menilai setiap padanan, memberi markah sewajarnya dan memberi ganjaran untuk kumpulan yang menang.

8. Aktiviti ini sesuai untuk digunakan sebagai set induksi. Itulah sebabnya masa yang pendek (2 minit) diberikan kepada pelajar untuk bertanding. Apa yang penting ialah perbincangan tentang topik yang hendak disampaikan.

9. Guru boleh mengulangi permainan ini pada akhir waktu sebagai aktiviti pengukuhan, sebagai cara imbasan pembelajaran pada hari itu atau untuk menguji pemahaman pelajar terhadap sesi P&P pada hari itu.

10. Gunakan imej pelbagai untuk aktiviti ini. Imej-imej menarik mudah didapati dari lawan sesawang dan kebanyakannya dibenarkan atas tujuan pendidikan. Untuk padanan “insang” dan “ikan”, dapatkan gambar pelbagai jenis ikan dan berikan sedikit cabaran dengan memasukkan gambar yu, paus, kuda laut dan sebagainya.

Pengisian sains

Seperti mana manusia, haiwan juga mempunyai proses hidup seperti bernafas, berkumuh, bernyahtinja dan membiak. Proses-proses ini penting untuk kemandirian spesies haiwan.

Salah satu daripada proses itu ialah pernafasan. Haiwan perlu bernafas untuk terus hidup. Di dalam proses ini, ia menyedut gas oksigen dan menghembus gas karbon dioksida dan wap air.

Walaupun proses ini melibatkan gas yang sama, haiwan yang berbeza mempunyai sistem pernafasan yang berbeza. Lima struktur pernafasan haiwan ialah peparu (lungs), kulit lembap (moist skin), buku / kuras peparu (lung book), struktur trakea (tracheal structure) dan insang (gills).

Sistem pernafasan menggunakan peparu banyak digunakan oleh kebanyakan haiwan darat seperti monyet, ular, burung dan buaya. Walau bagaimanapun, ada juga haiwan akuatik yang menggunakan sistem pernafasan yang sama. Contoh haiwan-haiwan ini ialah ikan lumba-lumba, ikan paus dan juga penyu. Ilustrasi di bawah menunjukkan sistem pernafasan tikus.

Sistem pernafasan menggunakan peparu dan kulit lembap pula digunakan oleh haiwan seperti katak, kodok dan salamander. Cacing pula bernafas hanya dengan melalui kulit lembap. Melalui sistem ini, gas oksigen meresap masuk menerusi kulit yang lembap dan nipis dan terus ke dalam badan haiwan itu.

Sistem pernafasan menggunakan buku / kuras peparu banyak digunakan oleh haiwan seperti labah-labah dan kala jengking. Struktur pernafasan haiwan-haiwan ini kelihatan seperti helaian muka surat pada sebuah buku!

Sistem pernafasan menggunakan struktur trakea pula digunakan oleh serangga seperti pepatung, lipas, rama-rama dan belalang. Sistem trakea membawa udara masuk secara terus ke sel-sel badan serangga. Melalui sistem pernafasan ini, udara masuk ke dalam tiub udara melalui liang-liang halus bernama spirakel. Melalui liang yang sama, karbon dioksida akan keluar dari badan haiwan itu.

Sistem pernafasan menggunakan insang pula banyak digunakan oleh kebanyakan haiwan akuatik. Contoh-contoh haiwan yang menggunakan insang ialah ikan, ketam, udang, sotong dan berudu. Melalui sistem pernafasan ini, air yang masuk ke dalam mulut haiwan itu, mengalir ke insang. Gas oksigen yang dibawa bersama akan diserap oleh insang yang kemudiannya membebaskan gas karbon dioksida ke dalam air.

Tahukah anda?

Kita pasti terkejut melihat aksi-aksi seperti lipas yang masih hidup walaupun tiada kepala. Begitu juga dengan belalang yang masih boleh bergerak walaupun kepalanya direndam di dalam air. Kejadian ini seolah-olah seperti adegan di dalam filem seram! Bagaimanakah ini terjadi?

Sudah tentunya haiwan seperti belalang dan lipas tidak mempunyai sistem pernafasan yang sama seperti kita. Melalui sistem trakea, pernafasan berlaku bukan di kepala kedua-dua haiwan itu. Ini adalah satu contoh mudah yang menunjukkan bahawa pengetahuan sains boleh membantu kita memahami pelbagai kejadian aneh di sekeliling kita.

Cubalah!

Menariknya, aktiviti ini adalah berciri serbaguna dan mudah diadaptasikan untuk pelbagai topik. Jika anda berjaya menguasai cara pelaksanaannya, anda boleh menggunakan teknik yang sama untuk mencapai manfaat yang sama, cuma topik sahaja yang berbeza!

Contohnya, untuk sub-topik “Haiwan membiak”, gunakan kad-kad imbasan soalan bagi kotak CARA MEMBIAK seperti “melahirkan anak” dan “bertelur”. Padanannya pula ialah kad-kad imbasan jawapan bagi kotak HAIWAN seperti “kucing”, “kanggaru”, “singa”, “ikan paus”, “ayam”, “penguin”, “kupu-kupu”, “katak” dan “penyu”.

Di dalam contoh di atas, pelajar akan mengambil kad imbasan soalan “melahirkan anak” dan mencari padanan yang betul dari kad imbasan jawapan seperti “kucing”. Mudah bukan?

Kurikulum sekolah

Year 4 / Investigating Living Things / Life Processes / Life Processes of Animals / Animals Breathe

Year 4 / Investigating Living Things / Life Processes / Life Processes of Animals / Animals Reproduce

Selamat mencuba!

Photo credit:

http://bestappsforkids.com/blog/wp-content/uploads/2010/09/giraffes-matching-zoo-ipod-app-1.jpg


http://www.emc.maricopa.edu/faculty/farabee/biobk/gasexch2.gif


http://images.tutorvista.com/content/animal-morphology/rat-respiratory-system.jpeg


https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEidg4CjVK3-Gl0HR66pO40FIc4-6L3isSyjkeHiMvQjqTh0vMrpOFVocGLBQh6TK_Wig3_qTkB2ZHXC7BiNVD6kSqCPZXg18iYYFLTOFCMr1W55LZPcAHRHcoSJgl7vzHWxma0AB8fClh6V/s400/Earthworms%255B1%255D.jpg


http://www.hispanicallyspeakingnews.com/uploads/images/article-images/cuba_scorpion_cancer.jpg


http://ednieuw.home.xs4all.nl/Spiders/InfoNed/longingangen.jpg


http://www.findaspider.org.au/info/images/booklungs.jpg


http://image.shutterstock.com/display_pic_with_logo/148792/148792,1204827221,3/stock-photo-big-green-grashopper-sitting-on-a-yellow-flower-10103980.jpg


http://163.16.28.248/bio/activelearner/44/images/ch44c4.jpg


http://earthguide.ucsd.edu/fishes/kinds/images/gill1.jpg


http://www.sci.sdsu.edu/classes/bio100/Lectures/Lect16/Image266.gif


http://www.cartoonstock.com/newscartoons/cartoonists/pfo/lowres/pfon282l.jpg

No comments:

Post a Comment