Pengenalan
Aktiviti simulasi melibatkan pergerakan pelajar secara aktif dan akan "menyentuh" pelajar apabila mereka terlibat secara langsung dalam pengajaran dan pembelajaran. Cubalah aktiviti simulasi di bawah dan mulakannya untuk membawa kepada topik keperluan asas tumbuhan.
Apa yang diperlukan?
Pelajar sukarelawan
Prop khas (topeng bunga, daun kad manila, bekas penyiram air, matahari, plastik alas meja)
Apa yang perlu dibuat?
1. Sebelum kelas bermula, tawarkan kepada pelajar tentang peluang untuk melibatkan diri di dalam simulasi ini.
2. Bahagikan pelajar kepada dua kumpulan, kumpulan pertama ialah "pokok yang dijaga". Kumpulan kedua pula mewakili "pokok yang terbiar". Bekalkan mereka dengan prop yang sesuai supaya meka dapat digambarkan sebagai tumbuhan. Contohnya, gunakanlah topeng bentuk bunga dan daun yang dibentuk dengan kad manila.
3. Seorang pelajar yang memegang bekas siraman air yang kosong. Apabila guru memanggil pelajar itu untuk menyiram pokok, dia akan berlakon untuk "menyiram" pelajar kumpulan yang pertama. Minta kumpulan pertama untuk menunjukkan aksi segar dan ceria dan kumpulan kedua untuk menunjukkan aksi layu dan tidak bermaya.4. Seorang pelajar pula akan menjadi "matahari". Apabila guru memanggil pelajar untuk "menyinarkan cahaya matahari", dia akan berdiri berdekatan dengan kumpulan pertama tetapi berjauhan dengan kumpulan kedua. Minta kumpulan pertama untuk menunjukkan aksi segar dan ceria dan kumpulan kedua untuk menunjukkan aksi layu dan tidak bermaya.
5. Minta pula dua orang pelajar untuk menyelubung kumpulan kedua dengan plastik alas meja untk menandakan bahawa kononnya tumbuhan itu disekat dari bekalan udara. Kumpulan kedua akan menunjukkan aksi layu dan tidak bermaya. Minta kumpulan pertama untuk menunjukkan aksi segar dan ceria.
3. Bincang bersama penonton (pelajar lain) tentang pemerhatian mereka.
Apa yang berlaku?
Keperluan asas tumbuhan ialah udara, air dan cahaya matahari. Makanan bukanlah keperluan asas tumbuhan kerana ia boleh menghasilkan makanan sendiri melalui proses fotosintesis.
Tumbuhan memerlukan udara untuk mendapatkan oksigen bagi proses pernafasan dan mendapatkan karbon dioksida bagi proses fotosintesis. Tanpa udara, tumbuhan tidak dapat menghasilkan makanannya sendiri dan ia akan mati.
Tumbuhan memerlukan air sebagai medium pengangkutan nutrien dan garam mineral ke bahagian tumbuhan yang lain seperti daun dan batang tumbuhan itu. Air juga diperlukan untuk proses fotosintesis, mengekalkan kesegahan, kesegaran dan juga sebagai mekanisme kawalan suhu.
Tumbuhan juga memerlukan cahaya matahari untuk bercambah dengan baik dan membesar untuk terus hidup. Ia menggunakan tenaga daripada cahaya matahari untuk melakukan proses fotosintesis dan membuat makanannya sendiri. Tumbuhan hijau menggunakan pigmen hijau bernama klorofil untuk menyerap tenaga daripada cahaya matahari.
Tahukah anda?
Tumbuhan seperti cendawan tidak menjalankan proses fotosintesis. Ia tidak memerlukan cahaya matahari untuk terus hidup. Keperluan asas tumbuhan ini ialah air, udara dan tumbuhan serta haiwan yang telah mati.
Cubalah!
Ada pelbagai eksperimen yang boleh dilakukan untuk melihat kesan ketiadaan keperluan asas tumbuhan. Untuk menyiasat sama ada tumbuhan memerlukan udara untuk terus hidup, buat perbandingan di antara satu tumbuhan dengan satu tumbuhan lagi yang dibalutkan dengan beg plastik lutsinar. Lihat kesannya selepas satu minggu.
Untuk memyiasat sama ada tumbuhan memerlukan air untuk terus hidup, buat perbandingan di antara tumbuhan yang disiram air setiap hari selama seminggu dengan tumbuhan yang tidak disiram langsung.
Untuk menyiasat sama ada tumbuhan memerlukan cahaya matahari untuk terus hidup, buat perbandingan di antara tumbuhan yang diletakkan di bawah sinaran cahaya matahari dengan tumbuhan yang diletakkan di dalam sebuah kotak hitam. Lihat kesannya selepas dua minggu.
Kurikulum sekolah
Tahun 4 / Investigating Living Things / Basic Needs of Plants
Selamat mencuba!
Kredit
Idea asal simulasi dari Cikgu Anita Wahab, SK Pengkalan Tentera
No comments:
Post a Comment