Pengenalan
Aktiviti ini bukan sahaja akan mencungkil perasaan ingin tahu para pelajar, ia juga akan melatih kemahiran berfikir secara pantas (quick-thinking skills) dan juga kepantasan untuk bertindak!
Objektif:
1. Menggalakkan pelajar dan juga guru mengenali antara satu sama lain.
2. Menggalakan pelajar belajar menyoal dan melatih perasaan ingin tahu (yang juga sikap saintifik yang penting).
3. Melatih pelajar untuk bersikap terbuka dan jujur.
Saiz kumpulan:
Semua pelajar di dalam kelas
Barang-barang yang diperlukan:
Kerusi
Langkah-langkah:
1. Minta pelajar untuk duduk di dalam satu bulatan besar. Seorang pelajar sahaja duduk di tengah-tengah bulatan.
2. Objektif pelajar yang duduk di tengah-tengah itu ialah untuk bertanyakan satu soalan. Contoh soalan adalah seperti berikut:
a) Siapakah yang pernah pergi ke Pulau Pangkor?
b) Siapakah yang pernah dikejar anjing?
c) Siapakah yang pernah memanggil ibunya, "Cikgu!"?
3. Sesiapa yang duduk di dalam bulatan dan menjawab, "Ya" kepada soalan yang ditanya, haruslah bangun dengan pantas dan menukar tempat duduknya. Si penyoal yang duduk di tengah-tengh bulatan juga harus mencari tempat duduk yang baru.
4. Peraturan aktiviti ini mudah sahaja. Pelajar tidak boleh berpindah ke kerusi yang bersebelahan dengannya (ia menunjukkan kemalasan seseorang pelajar) dan ia tidak boleh duduk di kerusi asalnya.
5. Sesiapa yang masih terpinga-pinga dan gagal mendapatkan tempat di dalam bulatan dikehendaki duduk di tengah-tengah bulatan. Sekarang gilirannya pula untuk bertanyakan soalan.
5. Permainan ini bersambung dan tamat pada bila-bila masa mengikut budi bicara guru.
Tip:
1. Fikirkan soalan-soalan yang lebih spesifik dan lucu seperi, "Siapakah yang pernah pergi ke sekolah tanpa mandi pagi?" atau soalan yang akan membuatkan semua orang terpaksa bergerak seperti, "Siapakah yang pernah memberus giginya?"
No comments:
Post a Comment