Monday, December 5, 2011

Aktiviti Sains : "Model Seni Pipe Cleaner"

Pengenalan

Cubalah aktiviti di bawah untuk menunjukkan kesan daya terhadap sesuatu objek. Ia bukan sahaja menarik tetapi juga memberi peluang untuk kita mencungkil kreativiti di dalam suasana P & P yang menyeronokkan!

Apa yang diperlukan?

Beberapa "pipe-cleaners" (boleh didapati di kedai kraf atau kedai menjual peralatan bunga telur)
Nota: Gunakan dawai halus sebagai alternatif.

Apa yang perlu dibuat?


1. Pelajar dibenarkan mengambil seberapa banyak pipe-cleaners yang mereka perlukan.

2. Berikan pelajar masa lebih kurang 3 minit untuk mereka bentuk apa sahaja yang mereka inginkan.

3. Berikan cenderahati untuk rekaan yang paling kreatif dan menarik.

Apa yang berlaku?

Daya (force) merupakan suatu tolakan (push) atau tarikan (pull). Benda bukan hidup tidak boleh bergerak dengan sendirinya. Daya diperlukan untuk menggerakkannya. Daya tidak boleh dilihat tetapi kita boleh melihat dan merasai kesan daya. Apabila daya dikenakan ke atas sesuatu objek, daya akan menyebabkan objek yang pegun akan bergerak, berubahnya pergerakan objek itu atau berubahnya bentuk dan saiz objek itu.

Pipe-cleaners diperbuat daripada dawai halus dan disalut dengan fabrik poliester atau nilon berwarna. Ia  mudah dilentur dan dibentuk melalui kedua-dua 'tolakan' dan 'tarikan'. Aktiviti ini memberi pemahaman bahawa daya boleh merubah bentuk sesuatu objek.

Tahukah anda?

Pipe cleaners pada asalnya dicipta untuk membersihkan paip merokok. Ia juga digunakan untuk tujuan pembersihan saluran sempit dan kecil. Ada juga pipe cleaners yang direka bentuk khas untuk tujuan pembersihan peralatan perubatan.

Pipe cleaners juga popular sebagai peralatan kraf. Sedikit masa dahulu, ia sering digunakan sebagai bekas bunga telur semasa majlis perkahwinan orang Melayu.

Cubalah!

Jika aktiviti ini mendapat sambutan yang menggalakkan, tambah bahan kraf seperti butang, "wiggly eyes", benang sulam, gam UHU dan sebagainya. Pelajar akan berpeluang untuk mengasah kreativiti masing-masing dan berseronok pada masa yang sama!

Kurikulum Sekolah

Tahun 6 / Investigating Force and Energy / Force (Daya)

No comments:

Post a Comment