Pada Januari 2004, saya menerima satu e-mel daripada seorang rakan. E-mel itu masih saya simpan bersama selonggok lagi keratan-keratan akhbar, majalah, e-mel dan pelbagai lagi mengumpul habuk di bilik bacaan saya. E-mel itu masih saya simpan hingga ke hari ini kerana ia masih relevan hingga ke hari ini. Ia mengenai mendidik anak menjadi seorang yang bijak. Menarik, bukan?
E-mel itu dipanjangkan oleh seorang rakan yang bersahabat dengan seseorang yang bermajikankan seseorang yang pula menghantar anaknya yang berumur 2 tahun pergi ke kelas Sichida Method. Kelas Sichida ini diuruskan oleh sebuah syarikat Jepun yang melatih anak-anak berfikir menggunakan otak sebelah kanan.
left brain vs right brain, image from thewritingnut.com
Otak sebelah kanan ini dipercayai lebih efektif daripada otak sebelah kiri tetapi harus dilatih penggunaannya. Walaupun ia agak bagus dan terbukti berkesan, ia melibatkan kos yang tinggi sehinggakan penulis emel membuat perbandingan dengan kos pengajian rakannya yang membuat Masters di ITM! Majikan penulis emel pula mengambil keputusan dengan niat ikhlasnya untuk berkongsi ilmu bersama staf-stafnya yang kurang berkemampuan.
Penulis e-mel berharap yang para pembaca yang telah dipanjangkan e-mel, boleh mengamalkan cara-cara yang dikongsi kerana dia telah dapat melihat keberkesanannya walaupun diamalkan dalam masa seminggu sahaja!
Berikut ialah petua yang telah dikongsi :
1. Bercakap dengan anak sewaktu dalam keadaan separa sedar
Sewaktu anak hendak tidur atau tidur-tidur ayam, kita harus bercakap kepadanya dengan sepenuh dan sejujur hati yang kita sayang padanya, dia adalah seorang anak yang baik, dia seorang yang kuat dan tidak sakit, dia seorang budak yang pandai dan sebagainya. Ini adalah kerana sewaktu anak ini sedang tidur-tidur ayam, otak kanannya sedang bekerja walaupun otak kirinya sudah ‘tidur’.
Penulis juga mengingatkan pembaca untuk membuatnya dengan seikhlas hati, jika tidak petua ini tidak akan menjadi. Sekiranya anak itu sudah tidur, penulis menyarankan agar kita memicit-micit dan meramas-ramas tangannya supaya dia berada di dalam keadaan tidur-tidur ayam.
Penulis kemudiannya berkongsi tentang apa yang dilakukannya terhadap anak perempuannya yang kerap lewat bangun pagi dan disertai pula dengan `melalak-lalak’! Penulis `bercakap-cakap’ dengan anaknya setiap hari yang dia seorang anak yang baik, suka pergi ke sekolah, dia seorang anak yang sihat dan dia seorang yang mahu bangun awal. Penulis mendakwa bahawa anaknya sekarang sudah bangun seawal 6.30 pagi termasuklah hari Sabtu dan Ahad!
2. Amalkan penggunaan kad imbas
Mulakan penggunaan kad imbas A-Z. Penulis mendakwa bahawa anaknya berjaya mengenali semua huruf dan boleh mengeja perkataan yang pendek-pendek dalam masa seminggu sahaja. Penulis mencadangkan pembaca untuk membuat banyak kad dan menunjukkannya kepada anak-anak.dengan pantas.
Ini dikatakan dapat membuatkan otak kanan bekerja keras untuk menangkap apa yang ditunjuk. Kad imbas tidak terbatas kepada `A-Z’ dan `a-c’ tetapi teknik ini boleh digunakan untuk nombor `1,2,3… ‘. Penulis juga menyarankan kad ini supaya bervisual dan menggunakan bahasa Inggeris. (Nota norazharishak.blogspot.com: cara ini mungkin kurang digemari oleh ibu bapa yang mahukan anak mereka cepat membaca melalui kaedah fonik).
3. Tingkatkan kemahiran motor
Gerak kerja tangan adalah hasil dari peranan otak kanan. Penulis mencadangkan anak-anak diajar bermain dengan tanah liat, melukis menggunakan cat air, menggunting kertas, membuat seni origami dan sebagainya.
Walaupun ini akan memberi beban kepada ibu bapa kerana kena mengemas(!), ia akan mengaktifkan penggunaan otak kanan. Satu cara lagi ialah kita melukis satu gambar di sebelah kertas dan menyuruh anak menyambung lukisan di sebelah kertas. Penulis juga mendakwa bahawa anak-anak sebelah Timur Asia pandai belaka kerana mereka makan menggunakan penyepit (chopstick) dan ini membantu mengaktifkan kerja tangan dan juga menggerakkan otak kanan.
4. Kawal kemarahan anda
Jangan marah atau menengking anak kerana mereka `menyimpan’ semuanya di dalam otak kiri. Jika ini telah berlaku, penulis menyarankan pembaca untuk mengamalkan petua yang pertama dan memohon maaf kepada si anak.
5. Galakkan anak anda berimaginasi
Kembangkan kebolehan anak-anak berimaginasi. Penulis mencadangkan ibu bapa untuk memulakan cerita dan meminta anak-anak menyambung cerita walaupun mereka merapu!
6. Latih kecekapan deria
Bermain teka-teki dengan anak-anak. Contohnya, masukkan satu objek di dalam sebuah kotak tisu dan minta anak-anak untuk meneka apakah objek di dalam kotak itu. Ibu bapa boleh memberi bantuan seperti apakah warnanya, bunyinya dan sebagainya. Lama-kelamaan ini dipercayai dapat menajamkan kebolehan deria mereka dan dalam masa yang sama mengaktifkan otak kanan.
Penulis mengingatkan pembaca untuk tidak membuatkan aktiviti di atas dengan lama, memadailah selama setengah jam sehari. Penulis juga mengingatkan pembaca untuk mengamalkannya di dalam keadaan yang tenang dan ikhlas dan bukan semasa membuat kerja-kerja lain seperti memasak, membasuh kain atau menonton televisyen.
Pada akhir e-mel ini, penulis juga mengingatkan pembaca bahawa kejayaan terletak kepada Tuhan yang Maha Mengetahui dan dengan keizinan dariNya. Tetapi kitalah yang harus berusaha dengan sebaiknya dan bersyukur jika ia sudah berhasil.
Jutaan terima kasih saya kepada Sue Adda yang telah sudi memanjangkan e-mel asal kepada saya. Semoga perkongsian ini membawa seribu manfaat untuk pembaca semua!
No comments:
Post a Comment