Pengenalan
Aktiviti yang mudah ini tidak memerlukan sebarang peralatan langsung. Ia tidak mengambil masa yang lama terutamanya jika pemainnya tergesa-gesa untuk memastikan mereka berjaya mencapai matlamat yang ditentukan. Aktiviti ini pasti akan memberi suntikan kecergasan kepada para pelajar sebelum kita memulakan sesi P&P.
Objektif:
1. Sebagai satu aktiviti yang bertenaga untuk menyediakan pelajar untuk pembelajaran seterusnya.
2. Memperkenalkan konsep komunikasi bukan lisan.
3. Menerapkan semangat berpasukan di mana pelajar digalakkan bekerjasama untuk mencapai satu matlamat yang sama.
Saiz kumpulan:
Semua pelajar di dalam kelas
Barang-barang yang diperlukan:
Pelajar sahaja!
Langkah-langkah:
1. Terangkan kepada pelajar bahawa mereka dikehendaki membuat satu barisan tanpa bercakap sepatah perkataan pun! Perkenalkan kepada mereka konsep komunikasi bukan lisan (non-verbal communication).
2. Pelajar boleh menggunakan sebarang pergerakan atau bahasa gerak-geri (body language). Tetapi mereka tidak dibenarkan berkomunikasi secara lisan sama sekali. Pelajar yang berbuat demikian dikira terkeluar dari cabaran dan harus ke tempat duduk mereka.
3. Masa untuk menyelesaikan cabaran bergantung pada budi bicara guru.
4. Mulakan dengan arahan paling mudah iaitu, “Berbaris mengikut ketinggian; yang paling tinggi, hingga yang paling rendah.” Sebaik sahaja permainan ini bermula, selalunya pelajar akan mengukur ketinggian mereka melalui perbandingan di antara rakan-rakan terdekat. Kemudian mereka akan menyusun diri mereka dengan pantas untuk menyelesaikan arahan guru tadi.
5. Seterusnya, gamatkan suasana dan berikan arahan yang lebih mencabar. Contohnya, “berbaris mengikut tarikh lahir” dan “berbaris mengikut susunan abjad nama; yang awal (nama bermula dari huruf `A’) di bahagian depan, dan yang akhir (nama bermula dari huruf `Z’) pula di belakang sekali”.
6. Bagi pelajar yang lebih muda, mulakan dengan lima atau enam orang. Selepas mereka memahami apa yang perlu dilakukan, tambah jumlah pemain.
7. Permainan ini mungkin mengambil masa buat seketika. Tetapi selepas beberapa pusingan, seseorang itu pasti akan cukup bijak untuk mula mengira dengan jari atau mencari kalendar untuk digunakan!
Tip:
Menariknya, aktiviti ini adalah berciri serbaguna dan mudah diadaptasikan untuk kegunaan P&P. Jika anda berjaya menguasai cara pelaksanaannya, anda boleh menggunakan teknik ini untuk mengajar topik matematik seperti `pecahan’, `masa dan waktu’ dan `turutan nombor’. Ia juga sesuai untuk digunakan sebagai set induksi untuk topik-topik berkenaan.
Selamat mencuba!
Photo credit:
www.californiakindergartenassociation.org
www.cadostreet.com
www.projects.ajc.com