Wednesday, July 13, 2011

Memartabat Bahasa Malaysia : “Bagaimana menggunakan kata sendi ‘daripada’ "

logo1
Dipetik dan diadaptasi dari Dewan Eja Pro
mbmmbi
Kata sendi nama`daripada’ perlu hadir di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan perkara berikut :
1. Menyatakan atau menunjukkan orang yg memberi:
- Dia menerima sepucuk surat daripada ayahnya
- Dia menerima hadiah daripada seorang sahabat yang karib
2. Menyatakan atau menunjukkan sumber atau punca sesuatu itu diperoleh :
- Petikan daripada karya Nor Azhar Ishak
- Air daripada perigi itu ada jentik-jentik
- Artikel ini diterjemahkan daripada bahasa Parsi
3. Menyatakan bahan yang digunakan utk menghasilkan sesuatu:
- Bola ini diperbuat daripada hasil campuran borax dan gam PVA.
4. Menyatakan atau menunjukkan sesuatu yang terlibat dalam pengasingan atau perbandingan :
- Selat Melaka memisahkan Semenanjung Malaysia daripada Sumatera
- Prosedur yang dikemukakan terkemudian ini lebih menarik daripada yang disediakan dahulu
- Daripada duduk sahaja di kubikel menatap e-mel , lebih baik melakukan sesuatu yang berfaedah seperti membantu rakan yang banyak kerjanya.
-Lebih baik dia dinasihati daripada diberi amaran kerana kerap mencuri tulang di pejabat.
5. Menyatakan sesuatu perubahan atau perkembangan:
- Harga program CSS telah naik daripada RM3.00 menjadi RM10.00 untuk setiap pelajar.
- Belanjawan jabatan ini turun daripada RM 50,000  tahun lalu menjadi RM 35,000 tahun ini.
6. Digunakan sebelum menyatakan atau menyebutkan unsur atau akibat yang hendak dielakkan :
- Kami akan mempertahankan diri daripada serangan musuh
- Kami akan menjauhkan diri daripada bahaya
-Ini adalah langkah-langkah untuk mengelakkan hal-hal demikian daripada berlaku lagi
-Nampaknya Fatin lebih senang menyimpan perasaannya di hati daripada melafazkannya dengan kata-kata.
7. Menyatakan punca sesuatu tindakan:
- Daripada apa yang saya dengar, kerani itu melengahkan kerjanya kerana selalu bermain `facebook’
- Ceramah ini diadakan hasil daripada desakan para pekerja di syarikat itu.
8. Memperkaitkan atau memperhubungkan sesuatu dengan sesuatu jumlah :
- Satu daripada sebab-sebab kejatuhan empayar Srivijaya ialah…
- Hanya 5 orang daripada sejumlah 6 orang pekerja sahaja yang terlibat secara aktif dalam menjalankan bengkel ini.
- Hampir 100% daripada aktiviti diberikan secara percuma untuk orang awam dan juga institusi pembelajaran formal.
Selamat berbahasa!

No comments:

Post a Comment