Showing posts with label Science Activities. Show all posts
Showing posts with label Science Activities. Show all posts

Saturday, January 28, 2012

Aktiviti Sains : "Poliklipkertas"


Pengenalan 

Cubalah aktiviti mudah ini sebagai set induksi untuk memperkenalkan pelajar anda tentang konsep polimer. Apa yang anda perlukan hanyalah klip kertas dan pelajar yang sanggup menyahut cabaran poliklipkertas terpanjang!

Apakah yang diperlukan?

Klip kertas

Apakah yang perlu dilakukan?

1. Bahagikan pelajar kepada dua kumpulan.

2. Setiap kumpulan diberikan beberapa kotak klip kertas yang mengandungi satu jenis klip kertas sahaja.

3. Guru akan memberikan arahan kepada pelajar untuk menyambungkan klip-klip kertas itu sepanjang yang mungkin dalam masa 3 minit. Masa yang diberikan ini terpulang kepada budi bicara guru.

4. Kumpulan yang dapat membuat sambungan klip kertas yang terpanjang di dalam masa yang diberikan diisytiharkan sebagai pemenang.

Pengisian Sains

Polimer (polymer) ialah rantai molekul panjang yang terdiri daripada molekul-molekul kecil (monomer) yang bersambungan. Contoh-contoh polimer ialah kanji, protein, plastik dan nilon.

Monomer (monomer) ialah molekul kecil yang bergabung membentuk polimer. Contoh-contoh monomer ialah glukosa, asid amino, etena dan kloroetena.

Pempolimeran (polymerisation) adalah proses penggabungan molekul-molekul kecil (monomer) untuk membentuk rantai molekul panjang (polimer).

Penyahpolimeran (depolymerisation) adalah satu proses penguraian molekul polimer kepada monomer-monomernya. Penyahpolimeran boleh dijalankan secara tindakan haba atau tindakan enzim.

Terdapat dua jenis polimer iaitu polimer asli dan polimer sintetik. Polimer asli ialah jenis polimer yang dihasilkan secara semula jadi oleh benda hidup iaitu tumbuhan dan haiwan. Contoh-contoh polimer asli termasuklah protein (monomer : asid amino), lemak (monomer : asid lemak dan gliserol), kanji (monomer : glukosa), selulosa (monomer : glukosa) dan sutera.

Polimer sintetik pula ialah jenis polimer yang dibuat oleh manusia melalui tindak balas kimia. Gentian sintetik, getah sintetik atau getah stirena butadiena yang juga dikenali sebagai SBR (monomer : stirena dan butadiena) adalah contoh-contoh polimer sintetik. 

Pelbagai jenis plastik juga adalah contoh-contoh polimer sintetik. Ini termasuklah perspeks (monomer : metil metakrilat), polivinil klorida atau PVC (monomer : kloroetena) dan politena (monomer : etena).

Tahukah anda?

Rambut dan bulu haiwan terbina daripada sejenis protein (polimer) yang disebut keratin. 

Sutera ialah satu contoh gentian asli yang dihasilkan oleh ulat sutera.

 Kapas juga adalah satu polimer gentian asli. Kanji dan selulosa ialah contoh bagi karbohidrat.

Cubalah!

Jika anda mempunyai lebih masa, cubalah aktiviti lanjutan ini. Selepas pelajar menghasilkan polimer yang terpanjang cuba minta mereka hasilkan pula polimer yang menunjukkan cross-linking. Guru boleh menyediakan pelbagai bahan supaya ada nampak perbezaan antara monomer poliklipkertas (monomernya ialah klip kertas) dan juga agen cross-linking (klip berlainan warna atau klip saiz besar).

Kurikulum Sekolah

Form 5 Science / Carbon Compounds - Sebatian Karbon / Polymer - Polymer

Form 4 Chemistry / Manufactured Substances in Industry - Bahan Buatan Dalam Industri / Synthetic Polymers and Their Uses - Menilai Penggunaan Polimer Sintetik

Photo credit:

http://www.digitaldesktopwallpaper.com/wallpapers/digitalwallpapers/1024x768/paper-clips-001.jpg

http://www.reading.ac.uk/scienceoutreach/images/equations/polytable.gif

http://www.eflytyer.com/Images/materials/feathers/feathers2.gif

http://cache2.artprintimages.com/lrg/29/2910/5GSPD00Z.jpg

http://cache2.artprintimages.com/p/LRG/21/2149/DB3CD00Z/art-print/david-beatty-cotton-picking-ferghana-valley-uzbekistan-central-asia.jpg

http://www.cartoonstock.com/lowres/rjo1093l.jpg

Sunday, January 22, 2012

Aktiviti Sains : "Buruj Sticky Dot"

Pengenalan


Salah satu kaedah yang terbaik untuk mempelajari tentang buruj ialah melalui pencerapan bintang atau star-gazing. Walau bagaimanapun, faktor-faktor seperti cuaca, awan tebal dan pencemaran udara tidak membolehkan kita untuk melihat bintang yang cerah di langit malam. Aktiviti ini ialah salah satu aktiviti yang mudah dan membolehkan pelajar mengenali dan mengingati pola buruj. Apabila keadaan mengizinkan untuk kita mencerap bintang, pasti kita akan lebih bersedia!

Apakah yang diperlukan?

1. Kertas sugar paper atau construction paper berwarna hitam

2. Pelekat atau sticker bukat pelbagai warna (kuning flourescent pilihan yang terbaik!)

3. Pen penanda mata halus berwarna perak (warna emas pun menarik!)

Apakah yang perlu dibuat?

1. Minta pelajar untuk melakarkan bentuk atau pola buruj di atas kertas sugar paper. Guru boleh membantu pelajar sama ada dengan menunjukkan contoh di hadapan kelas atau membuat pola yang tersedia pada kertas yang diberikan kepada pelajar.

2. Pelajar kemudiannya diminta melekatkan sticker mengikut lakaran yang dibuat.

Pengisian Sains

Buruj merupakan sekumpulan bintang-bintang yang membentuk suatu imej atau corak di langit. Bintang-bintang memancarkan cahaya yang sangat terang dan menyebabkan ia boleh dilihat dari Bumi.

Kesatuan Astronomi Antarabangsa (IAU) telah menjumpai sejumlah 88 buruj. Anggaplah 88 buruj ini "kawasan-kawasan" di cakerawala sama seperti (lebih kurang) 196 negara-negara di Bumi (sehingga Julai 2011).

Empat buruj yang paling terang di antara buruj-buruj lain adalah; Buruj Biduk atau Big Dipper, Buruj Belantik atau Orion, Buruj Pari atau Southern Cross dan Buruj Skorpio atau Scorpion. Di bawah adalah imej mengikut turutan:

Kita tidak boleh melihat kesemua buruj pada masa yang sama. Ini adalah kerana kedudukannya yang sentiasa berubah disebabkan putaran Bumi pada paksinya dan pergerakan Bumi mengelilingi matahari.

Berikut ialah contoh-contoh "Buruj Sticky Dot" yang dipamerkan di sebuah seminar Sains Angkasa dan Astronomi yang diadakan di Sarawak pada tahun 2009.

Buruj Belantik
Buruj Sagittarius
Buruj Skorpio
Buruj Biduk
Buruj Cassiopeia

Buruj Pari

Tahukah anda?

Bintang kelihatan putih bersinar dengan sekali pandang. Tetapi, jika kita melihat dengan teliti, kita boleh melihat pelbagai warna: biru, putih, merah dan juga jingga keemasan! 

Pada buruj Belantik sahaja, kita boleh melihat perbezaan yang agak ketara di antara Betelguese yang berwarna merah jika dibandingkan dengan Bellatrix dan juga Rigel yang berwarna biru. Mengapakah ada perbezaan warna pada bintang-bintang ini?

Suhu menentukan warna bintang. Bintang berwarna merah adalah bintang yang "sejuk" dan mempunyai suhu sekitar 3,000 kelvin (K) atau 2,727 darjah Celsius. Bintang berwarna biru pula adalah bintang yang "panas" dan mempunyai suhu lebih daripada 30,000 K atau 29, 727 darjah Celsius. Suhu matahari kita yang berwarna kuning pula mempunyai suhu yang menyelesakan iaitu 6,000 K atau 5,727 darjah Celsius. Untuk anda mudah mengingati yang mana panas dan yang mana sejuk, ingat sahaja api biru itu panas dan api kuning itu tidak sepanas biru!

Di bawah ini disenaraikan beberapa bintang tercerah di cakerawala mengikut kecerahan berserta warnanya di langit malam. Ini baru lima belas sahaja, masih ada bertrilion lagi yang tidak disenaraikan di sini!

1. Sirius (Alpha Canis Majoris), biru

2. Canopus (A. Carinae), kuning

3. Alpha Centauri, kuning

4. Arcturus (A. Bootis), jingga

5. Vega (A. Lyrae), biru

6. Capella (A. Aurigae), kuning

7. Rigel (Beta, Orionis), biru

8. Procyon (A. Canis Minoris), kuning

9. Archenar (A. Eridani), biru

10. Hadar (B. Centauri), biru

11. Betelguese (A. Orionis), merah

12. Altair (A. Aquilae), biru

13. Aldebaran (A. Tauri), jingga

14. Acrux (A. Crucis), biru

15. Antares (A. Scorpii)

Cubalah!

Sebagai aktiviti lanjutan, gunakan sticker saiz besar untuk menunjukkan bintang yang paling cerah pada buruj tersebut. Contohnya, bintang Antares pada Skorpio atau Scorpio, bintang Rigel dan bintang Betelguese pada buruj Belantik atau Orion.

Guru juga boleh menggunakan sticker berlainan warna untuk menunjukkan bintang yang kelihatan berwarna seperti bintang Antares pada Skorpio (jingga kemerahan), bintang Rigel (biru) dan bintang Betelguese pada buruj Belantik.

Kurikulum Sekolah

Year 5 / Investigating the Earth and the Universe / Constellations (Buruj)

Selamat mencuba!

Photo credit:

Nor Azhar Ishak Personal Photo Collection

http://my.execpc.com/60/B3/culp/astronomy/fig/BigDipper.gif

http://apod.nasa.gov/apod/image/0302/orion_spinelli_c1.jpg

http://apod.nasa.gov/apod/image/0705/southernCross_beletsky.jpg

http://www.sciencephotogallery.com/image/scorpius_constellation_1694721.jpg

Friday, December 16, 2011

Aktiviti Sains : "Buku Skrap haiwan terancam dan haiwan pupus"

Pengenalan

Membuat buku skrap merupakan satu aktiviti seni di mana pelbagai maklumat berkaitan dengan sesuatu topik atau tema dikumpulkan sebagai sebuah album atau buku. Di dalam aktiviti ini, pelajar diberi tugasan untuk membuat sedikit penyelidikan tentang haiwan yang pupus dan terancam, dengan bantuan guru.

Apa yang diperlukan?

Kertas pelbagai warna dan ketebalan (boleh didapati di kedai alat tulis)
Gunting
Gam
Penebuk lubang (opsyenal)
Reben (opsyenal)
Pen pelbagai warna (opsyenal)
Bahan seni untuk menghias buku skrap (gam glitter, fancy stickers dan lain-lain)
Pelbagai gambar haiwan pupus dan terancam
Fakta berkenaan haiwan pupus dan terancam

Apa yang perlu dibuat?

1. Pelajar ditunjuk cara untuk membuat buku skrap secara asasnya. Pelajar kemudian boleh membuat buku mengikut kreativiti masing-masing. Guru dicadangkan untuk menstandardkan buku skrap, sebagai contohnya semua dikehendaki membuat buku skrap sekurang-kurangnya 10 muka.

2. Guru berbincang tentang :

a) Apakah maksud bagi haiwan yang pupus. Contoh haiwan-haiwan yang pupus.

b) Apakah maksud bagi haiwan yang terancam. Contoh haiwan-haiwan yang terancam.

c) Faktor-faktor yang menyebabkan dan menyumbangkan kepada ancaman kepupusan.

Guru menyediakan beberapa gambar dan fakta tentang haiwan terancam dan pupus. Pelajar akan memilihnya untuk dimasukkan ke dalam buku skrap masing-masing. Minta pelajar untuk:

a) Membuat penyelidikan tambahan dan juga menambahkan lagi koleksi haiwan.

b) Mencari fakta tambahan yang menarik untuk ditambah di dalam buku skrap mereka.

Selepas seminggu, minta pelajar untuk mempamerkan buku skrap mereka kepada rakan-rakan. Guru juga boleh membuat aktiviti ini lebih menarik dengan memberikan mereka pelekat-pelekat berwarna untuk dilekatkan kepada buku skrap yang mereka rasakan paling informatif dan menarik.

Terpulang kepada budi bicara guru, pilihlah hari yang sesuai untuk membawa mereka kepada perbincangan yang aktif tentang apa yang mereka telah pelajari, perasaan mereka tentang topik berkenaan dan apa yang mereka ingin tahu lagi jika diberikan lebih banyak masa untuk membuat penyelidikan.

Apa yang berlaku? 

Dengan adanya teknik membuat buku skrap, pelajar bukan hanya sekadar menyimpan dan menyelidik maklumat, malah mereka juga boleh menjadikannnya sebuah hasil karya yang boleh dikongsi bersama sesiapa sahaja yang anda kehendaki. Ia juga boleh menjadi satu bahan untuk memulakan satu perbincangan yang bernas tentang sebarang topik!

Pengisian sains

Haiwan yang pupus (extinct animals) ialah haiwan yang tidak lagi wujud di muka Bumi kita dan tiada sebarang spesisnya yang masih hidup pada hari ini. Beberapa haiwan yang telah pupus ialah dinosaur, Thylacine, burung Moa, burung Dodo dan Mammoth.

Sesetengah haiwan pupus disebabkan perubahan cuaca. Ada juga haiwan yang pupus disebabkan oleh aktiviti manusia.

Pada hari ini, ada pelbagai spesis haiwan yang semakin jarang dijumpai dan populasinya juga semakin berkurangan. Haiwan ini mengalami ancaman kepupusan. Ia dikategorikan sebagai spesis yang terancam (endangered species). Beberapa haiwan yang terancam ialah orangutan, badak sumbu, gorila, unta Bactrian dan penyu Belimbing.

Aktiviti manusia merupakan faktor utama yang menyebabkan kepupusan haiwan. Contoh aktiviti-aktiviti ini adalah seperti pembalakan haram atau keterlaluan, pemburuan haram atau keterlaluan dan pembangunan tanah yang keterlaluan.

Tahukah anda?

Projek Zoo Beku atau Frozen Zoo bertujuan untuk membawa semula spesies terancam dari ambang kepupusan. Projek yang dijalankan oleh Zoo San Diego ini mula mengumpul sampel kulit dari haiwan yang terancam sejak dari tahun 1972 dengan harapan yang ia boleh digunakan untuk melindungi haiwan ini dari kepupusan di masa hadapan. Kemajuan di dalam bidang teknologi sel tunjang (stem cell) masa kini bermakna yang usaha ini mempunyai harapan yang cerah!

Cubalah!

Apakah yang boleh anda hasilkan lagi dengan buku skrap?

Guru juga boleh meminta pelajar untuk merakamkan pelbagai bentuk Bulan pada setiap malam. Pelajar bukan sahaja boleh melihat dengan sendirinya fenomena fasa Bulan, tetapi ia juga akan membantu mereka memahami dan mengingati topik ini dengan lebih mudah.

Sebenarnya tidak ada batasan untuk membuat sebuah buku skrap, kerana semuanya dibataskan oleh kreativiti anda.

Kurikulum sekolah

Year 6 / Investigating Living Things / Interaction Among Living Things / Protecting Endangered Species


Wednesday, December 7, 2011

Aktiviti Sains : "Simulasi Keperluan Asas Tumbuhan"

Pengenalan

Aktiviti simulasi melibatkan pergerakan pelajar secara aktif dan akan "menyentuh" pelajar apabila mereka terlibat secara langsung dalam pengajaran dan pembelajaran. Cubalah aktiviti simulasi di bawah dan mulakannya untuk membawa kepada topik keperluan asas tumbuhan.

Apa yang diperlukan?

Pelajar sukarelawan
Prop khas (topeng bunga, daun kad manila, bekas penyiram air, matahari, plastik alas meja)

Apa yang perlu dibuat?

1. Sebelum kelas bermula, tawarkan kepada pelajar tentang peluang untuk melibatkan diri di dalam simulasi ini.

2. Bahagikan pelajar kepada dua kumpulan, kumpulan pertama ialah "pokok yang dijaga". Kumpulan kedua pula mewakili "pokok yang terbiar". Bekalkan mereka dengan prop yang sesuai supaya meka dapat digambarkan sebagai tumbuhan. Contohnya, gunakanlah topeng bentuk bunga dan daun yang dibentuk dengan kad manila.

3. Seorang pelajar yang memegang bekas siraman air yang kosong. Apabila guru memanggil pelajar itu untuk menyiram pokok, dia akan berlakon untuk "menyiram" pelajar kumpulan yang pertama. Minta kumpulan pertama untuk menunjukkan aksi segar dan ceria dan kumpulan kedua untuk menunjukkan aksi layu dan tidak bermaya.

4. Seorang pelajar pula akan menjadi "matahari". Apabila guru memanggil pelajar untuk "menyinarkan cahaya matahari", dia akan berdiri berdekatan dengan kumpulan pertama tetapi berjauhan dengan kumpulan kedua. Minta kumpulan pertama untuk menunjukkan aksi segar dan ceria dan kumpulan kedua untuk menunjukkan aksi layu dan tidak bermaya.

5. Minta pula dua orang pelajar untuk menyelubung kumpulan kedua dengan plastik alas meja untk menandakan bahawa kononnya tumbuhan itu disekat dari bekalan udara. Kumpulan kedua akan menunjukkan aksi layu dan tidak bermaya. Minta kumpulan pertama untuk menunjukkan aksi segar dan ceria.

3. Bincang bersama penonton (pelajar lain) tentang pemerhatian mereka.

Apa yang berlaku?

Keperluan asas tumbuhan ialah udara, air dan cahaya matahari. Makanan bukanlah keperluan asas tumbuhan kerana ia boleh menghasilkan makanan sendiri melalui proses fotosintesis. 

Tumbuhan memerlukan udara untuk mendapatkan oksigen bagi proses pernafasan dan mendapatkan karbon dioksida bagi proses fotosintesis. Tanpa udara, tumbuhan tidak dapat menghasilkan makanannya sendiri dan ia akan mati.

Tumbuhan memerlukan air sebagai medium pengangkutan nutrien dan garam mineral ke bahagian tumbuhan yang lain seperti daun dan batang tumbuhan itu. Air juga diperlukan untuk proses fotosintesis, mengekalkan kesegahan, kesegaran dan juga sebagai mekanisme kawalan suhu.

Tumbuhan juga memerlukan cahaya matahari untuk bercambah dengan baik dan membesar untuk terus hidup. Ia menggunakan tenaga daripada cahaya matahari untuk melakukan proses fotosintesis dan membuat makanannya sendiri. Tumbuhan hijau menggunakan pigmen hijau bernama klorofil untuk menyerap tenaga daripada cahaya matahari.

Tahukah anda?

Tumbuhan seperti cendawan tidak menjalankan proses fotosintesis. Ia tidak memerlukan cahaya matahari untuk terus hidup. Keperluan asas tumbuhan ini ialah air, udara dan tumbuhan serta haiwan yang telah mati.

Cubalah!

Ada pelbagai eksperimen yang boleh dilakukan untuk melihat kesan ketiadaan keperluan asas tumbuhan. Untuk menyiasat sama ada tumbuhan memerlukan udara untuk terus hidup, buat perbandingan di antara satu tumbuhan dengan satu tumbuhan lagi yang dibalutkan dengan beg plastik lutsinar. Lihat kesannya selepas satu minggu.

Untuk memyiasat sama ada tumbuhan memerlukan air untuk terus hidup, buat perbandingan di antara tumbuhan yang disiram air setiap hari selama seminggu dengan tumbuhan yang tidak disiram langsung.

Untuk menyiasat sama ada tumbuhan memerlukan cahaya matahari untuk terus hidup, buat perbandingan di antara tumbuhan yang diletakkan di bawah sinaran cahaya matahari dengan tumbuhan yang diletakkan di dalam sebuah kotak hitam. Lihat kesannya selepas dua minggu.

Kurikulum sekolah

Tahun 4 / Investigating Living Things / Basic Needs of Plants

Selamat mencuba!

Kredit

Idea asal simulasi dari Cikgu Anita Wahab, SK Pengkalan Tentera


Monday, December 5, 2011

Aktiviti Sains : "Model Seni Pipe Cleaner"

Pengenalan

Cubalah aktiviti di bawah untuk menunjukkan kesan daya terhadap sesuatu objek. Ia bukan sahaja menarik tetapi juga memberi peluang untuk kita mencungkil kreativiti di dalam suasana P & P yang menyeronokkan!

Apa yang diperlukan?

Beberapa "pipe-cleaners" (boleh didapati di kedai kraf atau kedai menjual peralatan bunga telur)
Nota: Gunakan dawai halus sebagai alternatif.

Apa yang perlu dibuat?


1. Pelajar dibenarkan mengambil seberapa banyak pipe-cleaners yang mereka perlukan.

2. Berikan pelajar masa lebih kurang 3 minit untuk mereka bentuk apa sahaja yang mereka inginkan.

3. Berikan cenderahati untuk rekaan yang paling kreatif dan menarik.

Apa yang berlaku?

Daya (force) merupakan suatu tolakan (push) atau tarikan (pull). Benda bukan hidup tidak boleh bergerak dengan sendirinya. Daya diperlukan untuk menggerakkannya. Daya tidak boleh dilihat tetapi kita boleh melihat dan merasai kesan daya. Apabila daya dikenakan ke atas sesuatu objek, daya akan menyebabkan objek yang pegun akan bergerak, berubahnya pergerakan objek itu atau berubahnya bentuk dan saiz objek itu.

Pipe-cleaners diperbuat daripada dawai halus dan disalut dengan fabrik poliester atau nilon berwarna. Ia  mudah dilentur dan dibentuk melalui kedua-dua 'tolakan' dan 'tarikan'. Aktiviti ini memberi pemahaman bahawa daya boleh merubah bentuk sesuatu objek.

Tahukah anda?

Pipe cleaners pada asalnya dicipta untuk membersihkan paip merokok. Ia juga digunakan untuk tujuan pembersihan saluran sempit dan kecil. Ada juga pipe cleaners yang direka bentuk khas untuk tujuan pembersihan peralatan perubatan.

Pipe cleaners juga popular sebagai peralatan kraf. Sedikit masa dahulu, ia sering digunakan sebagai bekas bunga telur semasa majlis perkahwinan orang Melayu.

Cubalah!

Jika aktiviti ini mendapat sambutan yang menggalakkan, tambah bahan kraf seperti butang, "wiggly eyes", benang sulam, gam UHU dan sebagainya. Pelajar akan berpeluang untuk mengasah kreativiti masing-masing dan berseronok pada masa yang sama!

Kurikulum Sekolah

Tahun 6 / Investigating Force and Energy / Force (Daya)

Sunday, October 23, 2011

Aktiviti Sains : "Pertandingan Rekacipta Struktur"

Pengenalan

Di dalam aktiviti ini, pelajar akan membina model struktur binaan dan dalam masa yang sama, belajar tentang apa yang diperlukan untuk membina sesuatu struktur yang kukuh dan stabil. Aktiviti kinestatik ini bukan sahaja menyeronokkan tetapi ia juga mencungkil idea dan kreativiti pelajar dan menggalakkan pemikiran yang kritis.

Apa yang diperlukan?

1. Straw minuman

2. Kertas surat khabar

3. Kertas pelbagai ketebalan seperti kad manila, kadbod kotak dan kertas biasa

4. Pita Masking atau pita selofan

5. Gunting

Apa yang perlu dilakukan?

1. Pelajar diberi masa untuk melakarkan struktur yang hendak dibina. Mintak pelajar untuk mempertimbangkan faktor yang menyumbang kepada kekuatan dan kestabilan sesuatu struktur.

2. Pelajar diberi masa untuk membina struktur itu dengan menggunakan bahan-bahan yang telah disediakan.

3. Selepas masa mencukupi, guru akan membuat ujian ketahanan untuk menguji kestabilan struktur yang dibina. Guru boleh meletakkan pemberat yang standard di atas setiap struktur dan uji ketahanan setiap struktur. Secara alternatifnya, guru boleh membuat gumpalan bola kertas surat khabar untuk dilontarkan ke arah stuktur (seperti permainan bowling).

4. Pelajar yang strukturnya paling kukuh dikira sebagai pemenang.

5. Guru memudah cara perbincangan tentang setiap struktur dan seterusnya mengaitkannya kepada kekuatan dan kestabilan sesuatu struktur binaan.

Pengisian Sains

Sesuatu bangunan mesti dibina dengan struktur yang kuat dan stabil supaya tidak runtuh. Ada pelbagai faktor yang boleh menyebabkan sesuatu struktur itu runtuh, antara lain termasuklah gempa bumi.

Kestabilan sesuatu struktur adalah keupayaan untuk mengekalkan kedudukan asalnya apabila ditolak atau ditarik. Sesuatu struktur dikatakan stabil jika ia tidak boleh tumbang dengan mudah.

Kestabilan sesuatu struktur itu dipengaruhi oleh luas tapak dan juga ketinggian struktur itu. Semakin besar luas tapak, semakin stabil struktur itu. Ketinggian struktur pula berkait dengan pusat graviti bagi struktur tersebut. Semakin tinggi struktur itu, tinggilah juga pusat gravitinya dan semakin kuranglah kestabilan struktur itu.

Kekuatan sesuatu struktur pula ialah keupayaan struktur itu untuk menahan daya yang bertindak ke atasnya. Jika ia boleh menahan beban yang berat dan tidak mudah patah atau runtuh, ia dikatakan sebagai satu struktur yang kuat.

Kekuatan sesuatu struktur bergantung kepada jenis bahan yang digunakan dan cara struktur itu dibina.

Tahukah anda?

Kereta lumba direka bentuk dengan pusat graviti yang rendah untuk meninggikan kestabilannya. Ia juga direka untuk mempunyai luas tapak yang besar supaya ia lebih stabil semasa memecut di dalam litar.

Cubalah!

Struktur bagi bangunan, jambatan dan terowong merupakan gabungan daripada bentuk-bentuk asas. Sebagai satu aktiviti kajian lapangan, minta pelajar ambil gambar atau lakarkan struktur yang mereka lihat dan cuba kenal pasti bentuk asas yang terdapat pada struktur binaan itu. Sebagai contoh, Menara Kembar Petronas merupakan gabungan bentuk-bentuk asas seperti kon (bahagian atas), silinder (struktur utama) dan kuboid (jambatan udara).

Kurikulum sekolah

Year 5 / Theme : Investigating Technology / Strength and Stability (Kekuatan dan Kestabilan)

Selamat mencuba!

Aktiviti Sains : "Buruj Kacang Hijau"

Pengenalan

Kaedah yang terbaik untuk mengajar tentang buruj ialah melalui pencerapan bintang atau "star-gazing". Namun begitu faktor-faktor seperti cuaca, awan tebal dan pencemaran tidak membolehkan kita melihat bintang yang cerah di waktu malam. Aktiviti ini ialah salah satu aktiviti alternatif yang boleh membantu pelajar mengenali dan mengingati pola buruj.

Apakah yang diperlukan?

1. Kertas lukisan

2. Kacang Hijau dan Kacang Merah

3. Gam

Apa yang perlu dibuat?

1. Minta pelajar untuk melakarkan bentuk atau pola buruj di atas kertas lukisan.

2. Pelajar kemudiannya diminta melekatkan kacang hijau mengikut lakaran yang dibuat.

3. Sebagai aktiviti lanjutan, gunakan kacang merah untuk menunjukkan bintang yang paling cerah pada buruj tersebut. Contohnya bintang Antares pada Skorpio (Scorpio), Bintang Rigel dan Bintang Betelgeuse pada Buruj Belantik (Orion).

Pengisian Sains

Buruj merupakan sekumpulan bintang-bintang yang membentuk suatu bentuk, imej atau corak di langit. Bintang-bintang memancarkan cahaya yang sangat terang menyebabkan bintang-bintang itu boleh dilihat dari Bumi.

Kesatuan Astronomi Antarabangsa (IAU) telah menjumpai sejumlah 88 buruj. Empat buruj yang paling terang antara buruj-buruj lain adalah; Buruj Biduk (Big Dipper), Buruj Belantik (Orion), Buruj Pari (Southern Cross) dan Buruj Skorpio (Scorpion).

Buruj Pari

Buruj Belantik

Buruj Biduk

Buruj Skorpio



Kita tidak boleh melihat kesemua buruj pada masa yang sama. Ini adalah kerana kedudukannya yang sentiasa berubah disebabkan putaran Bumi pada paksinya dan pergerakan Bumi mengelilingi matahari.

Tahukah anda?

Ada sebanyak dua belas buruj membentuk zodiak. Ahli zodiak termasuklah; Aries, Taurus, Gemini, Cancer, Leo, Virgo, Libra, Scorpio, Sagittarius, Capricorn, Aquarius dan Pieces.

Cubalah!

Ada pelbagai cerita mitos yang berkaitan dengan buruj. Guru boleh membuat sedikit penyelidikan di perpustakaan atau melalui internet sebagai bahan perkongsian yang menarik di dalam kelas. Secara alternatifnya, minta pelajar mencari maklumat tentang kisah mitos berkaitan untuk dikongsi bersama.

Kurikulum Sekolah

Year 5 / Theme : Investigating the Earth and the Universe / Constellations (Buruj)

Selamat berjaya!


Kredit : Cikgu Nurdiana Yusof, SK Sg Ular.

Saturday, October 22, 2011

Aktiviti Sains : "Lagu Rantaian Makanan"

Pengenalan

Pelbagaikan kaedah pengajaran dengan menerapkan konsep seni di dalam bentuk nyanyian. Dengan aktiviti ini, pelajar akan belajar tentang elemen rantai makanan tetapi juga berseronok pada masa yang sama!

Apa yang diperlukan?

Kreativiti

Penyelidikan awal

Apa yang perlu dibuat?

1. Pilih lagu rantaian makanan yang mudah seperti "Bangau! Oh Bangau!" untuk memulakan aktiviti ini. Pemilihan lagu ini adalah kerana pelajar akan rasa selesa dengan lagu tradisional yang biasa didengari.

2. Buka perbincangan tentang lirik lagu itu. Soalan dimulakan dari yang asas dan mudah, contohnya, "Mengapakah bangau makan ikan?" sehinggalah kepada, "Apakah yang akan berlaku jika tiada ikan langsung di dalam sungai?" atau "Apakah sebabnya berlaku pencemaran sungai?". Galakkan pelajar untuk berfikir secara kritis dan kreatif.

3. Minta pelajar untuk mencipta lagu baru yang hampir sama, cuma berbeza "ahli rantai makanan".

4. Tuliskan di kertas mahjong, tampalkan dan nyanyi beramai-ramai.

5. Guru membuka perbincangan dan memudah cara perbincangan tentang rantai makanan yang baru.

Pengisian sains :

Hubungan makanan di antara benda hidup dalam sesuatu habitat diwakili oleh rantai makanan atau "food chain".

Semua rantai makanan bermula dengan tumbuhan hijau.

Contoh rantai makanan adalah seperti berikut:

Anak panah dalam sesuatu rantai makanan bermaksud "dimakan oleh".

Tenaga akan dipindahkan daripada tumbuhan kepada ulat belucas kemudian kepada katak dan selepas itu kepada ular. Berikut merupakan beberapa contoh rantai makanan yang lain:

Tahukah anda?

Di dalam contoh di atas, rumput merupakan pengeluar (producer) kerana rumput membuat makanannya sendiri. Ahli-ahli lain pula dikenali sebagai pengguna (consumers).

Cubalah!

Kumpulkan pelajar dalam kumpulan yang kecil. Minta setiap kumpulan cadangkan satu rantaian makanan. Berikan masa untuk mereka membuat simulasi atau lakonan berdasarkan rantaian makanan yang mereka cadangkan. Untuk lebih menarik lagi, guru boleh sediakan topeng, topi atau sebarang alatan yang boleh menghidupkan lagi simulasi mereka.

Jika ada masa, bawalah pelajar ke persekitaran sekolah untuk membincangan tentang rantaian makanan di sekeliling mereka. Aktiviti ini juga bertujuan untuk memberi pengenalan kepada kajian lapangan.

Aktiviti ini juga amat sesuai jika dilakukan sebagai salah satu aktiviti perkhemahan kerana pelajar dapat mengenali pelbagai rantai makanan di sekeliling mereka.

Kurikulum sekolah

Year 5 / Theme : Investigating Living Things / Food Chain and Food Web (Rantaian Makanan dan Siratan Makanan)

Selamat mencuba!

Sunday, May 22, 2011

Aktiviti Sains : "Puting Beliung di dalam Botol”

flickr.com

Pengenalan:

Puting beliung adalah suatu fenomena alam yang merbahaya dan boleh mengakibatkan kerosakan yang besar. Memang cukup merbahaya untuk melihat dan menghampirinya. Tetapi ada cara yang lebih baik untuk anda melihat rupanya dari jarak yang selamat!

Apa yang diperlukan:

2 Botol plastik

Satu penutup botol

Gunting

Air

Pewarna

Pita Selofan

Apa yang perlu dilakukan:

1. Isikan satu botol dengan air sehingga penuh.

2. Titiskan pewarna pilihan anda supaya air di dalam botol itu lebih kelihatan.

3. Buatkan lubang kecil berdiameter lebih kurang 4 mm pada tutup botol. Salah satu cara untuk melakukannya ialah dengan menebuk menggunakan gunting dan memusingkan bilah gunting pada bukaan kecil tadi hingga anda mendapat lubang bulat yang sempurna.

4. Pasangkan penutup botol berlubang tadi di atas botol berisi air berwarna.

5. Satukan botol kedua dengan botol pertama tadi dengan menggunakan pita selofan.

6. Sekarang cuba balikkan botol itu. Botol yang berisi air di atas dan yang kosong pula di bawahnya.

7. Cuba pusingkan botol itu dengan laju dan lakukan kaedah cuba jaya sehingga anda dapat melihat puting beliung mini di hadapan anda!

miniputingbeliung

Apa yang berlaku?

Apabila kita terbalikkan dan pusingkan botol itu, air akan turun dengan laju ke bawah dan membentuk susunan vortex atau pusaran air. Itulah dia puting beliung yang kita lihat di dalam botol. Puting beliung mini ini tidak akan terjadi jika kita hanya terbalikkan botol tetapi tidak pula memusingkannya. Ini adalah kerana puting beliung mini tidak akan terbentuk tanpa terjadinya susunan vortex.

willianpye.com

Pusaran air terjadi kerana ini memudahkan perpindahan antara air dan udara di antara satu botol ke botol yang lain. Jika anda perhatikan, di tengah-tengah pusaran air, terbentuk satu lubang yang bertindak sebagai jalan udara. Jalan udara ini memudahkan air turun ke bawah dan dalam masa yang sama menggantikan udara yang akan dipaksa naik ke atas.

Tahukah anda?

Puting beliung yang sebenar disebabkan oleh pelanggaran udara. Apabila udara kering dan sejuk yang bergerak cepat bertembung dengan udara tropika yang panas dan lembap, ia mengakibatkan suatu ketidakseimbangan berlaku. Udara yang panas naik ke atas dengan kelajuan hampir 300 kilometer sejam. Udara sejuk yang masuk dari sisi menbuatkan arus udara itu naik ke atas dengan cepat dan mula berpusar Kelajuan pusaran puting beliung boleh mencapai lebih dari 450 km sejam! Cuba anda bandingkan dengan kereta yang bergerak laju di lebuh raya kebangsaan yang berhad laju 110 km sejam!

globalwarming.org

Selamat mencuba!